Seorang lelaki warganegara Thailand diserang dan dirompak oleh dua remaja di London, yang melaungkan perkataan 'koronavirus' sebelum melakukan jenayah berkenaan.

Pawat Silawattakun, 24, memberitahu portal Daily Mail, kejadian berlaku ketika dia turun dari bas di Fulham Road, London, minggu lalu.

Salah seorang suspek kemudiannya menyambar fon kepala miliknya, sebelum Silawattakun bertindak mengejar kedua-dua mereka sejauh 50 meter.

Ketika menghampiri satu simpang, kedua-dua suspek berpaling dan menumbuk Silawattakun, menyebabkan mangsa patah hidung.

Silawattakun, seorang konsultan di sebuah firma perakaunan di London, juga mendakwa kejadian itu dirakam oleh suspek.

Dia kemudiannya dibantu orang ramai yang menghubungi Uber untuk membawanya ke hospital.

Namun kedua-dua suspek berjaya melepaskan diri.

"Tetapi saya nampak mereka di seberang jalan. Mereka langsung tidak nampak seperti bersalah dan tidak cuba melarikan diri

"Ini bukan jenayah biasa, tetapi saya menjadi sasaran kerana keturunan saya. Mereka merakam kejadian seolah-olah mahu memalukan saya," tambah Silawattakun.

Insiden tersebut dianggap sebagai jenayah kebencian atau hate crime pertama yang dikaitkan dengan wabak koronavirus atau nama rasminya, COVID-19, yang dilaporkan kepada pihak berkuasa di Britain.

Jurucakap polis mengesahkan mereka telah menerima laporan dan sedang menyiasat kejadian itu.