INDIA pada Isnin mengambil langkah menanda tangan individu yang disyaki dijangkiti COVID-19 menggunakan cap.

'Home quarantined' - bermaksud 'dikuarantin di rumah' - itu yang tertulis pada cap tersebut, bersama tarikh akhir pengasingan 14 hari mereka, lapor Indian Express.

Turut tertulis ialah 'Proud to protect Mumbaikars', merujuk kepada penduduk Mumbai, sebuah bandar raya yang padat dengan 18 juta populasi.

"Mereka yang perlu dikuarantin tetapi tidak mahu tinggal di hospital dan mahu pulang ke rumah, harus mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi," kata Ketua Menteri, Uddhav Thackeray kepada Indian Express.

"Mereka tidak boleh berkeliaran dengan bebas. Mereka harus mengikuti proses kuarantin dengan ketat, " katanya.

Empat individu ditahan setakat ini kerana melanggar tempoh kuarantin.

Mereka ditangkap ketika membuat perjalanan menaiki kereta api sedangkan tangan mereka telah dicap di lapangan terbang antarabangsa Mumbai selepas tiba dari Jerman dan sepatutnya menjalani kuarantin.

Langkah drastik itu diambil selepas pakar meluahkan kebimbangan negara dengan 1.3 bilion penduduk itu boleh menjadi pusat global wabak berkenaan pada masa depan.

India setakat ini mencatatkan 166 kes positif dan tiga kematian akibat COVID 19.