AKTIVIS Sweden, Greta Thunberg menyumbangkan hadiah kemenangan yang diterima daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) Danish Foundation, berupa wang berjumlah AS$100,00 (RM431,600) kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menerusi kenyataan dikeluarkan pertubuhan itu pada Khamis, aktivis alam berusia 17 tahun itu dilaporkan memberi sumbangan tersebut untuk kegunaan UNICEF melawan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan kanak-kanak di seluruh dunia.

“Seperti krisis iklim, pandemik koronavirus juga dikira sebagai krisis hak kanak-kanak,” kata Thunberg, seperti dipetik dari kenyataan itu.

Thunberg berkata pandemik melanda kini bukan sahaja menjejaskan semua kanak-kanak buat masa ini dan untuk jangka masa panjang, namun, mereka juga golongan berisiko tinggi terdedah dengan jangkitan.

“Saya menyeru semua orang untuk sama-sama bangkit dan sertai saya menyokong kerja-kerja kebajikan penting UNICEF ini bagi menyelamatkan nyawa, kesihatan dan pendidikan kanak-kanak,” katanya.

Berikutan itu, kenyataan itu turut menyebut, Danish Foundation akan menyesuaikan wang sumbangan itu mengikut Akta Kemanusiaan.

UNICEF, dalam pada itu, berkata dana itu bakal memberikan suntikan buat pertubuhannya susulan berdepan kesukaran dalam menyokong golongan kanak-kanak yang terjejas akibat perintah berkurung dan penutupan institusi pendidikan.

Terdahulu, Thunberg mendakwa dia mungkin telah dijangkiti COVID-19 susulan beberapa gejala yang dialaminya selepas pulang dari Eropah.

BACA: Greta Thunberg dijangkiti COVID-19?