Amerika Latin merekodkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 kepada 8.45 juta kes pada Rabu dengan lebih 4.4 juta kes disahkan di Brazil.

Jumlah kematian di Brazil akibat virus itu juga dilaporkan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Kesihatan Brazil memaklumkan, sebanyak 36,820 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Rabu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 4.4 juta kes.

Negara ini juga melaporkan 987 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 134,106 orang.

Di Argentina, Kementerian Kesihatannya mengesahkan sebanyak 11,674 kes baharu dikesan menjadikan jumlah jangkitan itu sebanyak 589,012.

Angka kematian di negara itu pula mencecah 12,116 kes selepas 264 orang mati dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Di Peru, jumlah kes COVID-19 meningkat kepada 738,020 dengan 30,927 angka korban membabitkan virus berkenaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Peru, pihaknya mula membenarkan penduduk yang ditempatkan di kawasan kuarantin untuk melakukan perjalanan bagi tujuan peribadi atau komersial.

Mereka bagaimanapun masih dilarang untuk mengadakan atau menyertai perjumpaan keluarga atau sosial.

Chile pula mencatatkan kenaikan kes kematian dengan 18 angka korban baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah itu menjadikan angka korban keseluruhan mencecah 12,058 kes.

Kerajaan Chile menegaskan, pemeriksaan kesihatan akan ditingkatkan bagi membendung jangkitan virus itu.