Thailand merekodkan 67 hari tanpa kes jangkitan tempatan ketika negara itu bersiap sedia untuk membuka pintunya kepada lebih ramai warga asing mulai esok.

Malah, kesemua enam kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan warga Thailand yang kembali dari luar negara baru-baru ini, menjadikan jumlah jangkitan kini kepada 3,310 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada enam lelaki itu, lima adalah pelajar dengan empat pulang dari Mesir pada 22 Julai manakala seorang lagi tiba semalam, juga dari Mesir.

Beliau berkata kes keenam merupakan tukang masak kapal persiaran warga Thailand berusia 52 tahun yang diuji positif ketika kembali dari Belanda.

"Sejak wabak bermula pada Januari, Thailand merekodkan 3,310 kes COVID-19 dengan 58 kematian. Sehingga kini, 3,125 telah pulih dan keluar dari hospital sementara 127 yang lain masih dirawat," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Mulai esok, Thailand akan membuka sempadannya kepada lebih banyak warga asing termasuk pekerja migran dari negara jiran - Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam, dalam sektor infrastruktur dan industri makanan.

Selain itu, pelancong perubatan, warga asing yang menyertai persidangan dan pameran perdagangan antarabangsa, serta kru produksi filem asing dan pemegang kad Thailand Elite (mereka yang mempunyai visa kediaman jangka panjang dan visa kediaman pelbagai kemasukan) adalah antara mereka yang dibenarkan memasuki negara ini.

Thaweesilp berkata semua warga asing yang memasuki negara itu perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Bagi pekerja migran, majikan mesti menyediakan kemudahan kuarantin di tempat kerja. Setelah majikan bersedia, mereka boleh mula membawa masuk pekerja migran," katanya.