Catatan awal mengesahkan tambahan 295 kes jangkitan COVID-19 di Singapura dalam tempoh 24 jam lepas, dengan tujuh kes import.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan pada tengah hari ini di sini, berkata kesemua kes import itu diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di republik itu.

Kementerian itu berkata hanya dua kes dilaporkan dalam komuniti melibatkan seorang warganegara Singapura dan seorang pemegang pas kerja.

Selebihnya kes hari ini masih terdiri daripada pekerja asing yang menetap di asrama.

Dengan kes baharu itu, jumlah keseluruhan kes di republik ini mencecah 53,346 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat Isnin, Singapura mengklasifikasikan 718 kes import, kes komuniti 2,182 dan 50,151 kes penghuni asrama.

Setakat tengah hari semalam, 47,179 kes atau 89 peratus daripada keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah keluar hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 115 kes yang disahkan masih lagi berada di hospital dan kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala seorang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,730 pesakit dengan simptom ringan atau dari segi klinikal sihat tetapi masih positif ujian COVID-19 telah diasingkan dan ditempatkan di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam, dua kluster ditutup -- Keppel Shipyard dan Paya Lebar Quarter Tower 2 -- kerana tiada lagi kes di kawasan itu bagi tempoh dua inkubasi selama 28 hari.

-- BERNAMA