China melaporkan peningkatan kes positif COVID-19, akibat jangkitan daripada pelancong luar negara selepas penurunan kes selama empat hari di negara tersebut.

Jawatankuasa Kesihatan Kebangsaan dalam kenyataan berkata, sebanyak 48 kes baharu dilaporkan pada Isnin, berbanding hanya 31 jangkitan baharu pada Ahad.

Kesemua 48 kes import baharu itu adalah daripada luar, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan import di China sebanyak 771.

Bagaimanapun tiada kes jangkitan baharu dilaporkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Kes-kes import baharu itu dilaporkan di bahagian utara China melibatkan pelancong-pelancong dari penerbangan China ke Hohhot, iaitu ibu kota Inner Mongolia.

Sementara itu, 11 kes baharu import di Shanghai yang kebanyakannya melibatkan rakyat China yang pulang dari luar negara, manakala tiga kes import baharu dilaporkan di Beijing.

Susulan itu, pihak berkuasa China telah membuat pemeriksaan kesihatan dan protokol kuarantin termasuk mengurangkan bilangan penerbangan antarabangsa serta menyekat kemasukan ramai pelancong.

Bandar Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei dan pusat berlakunya wabak COVID-19 di China dilaporkan tiada kes jangkitan baharu bagi tempoh tujuh hari berturut-turut.

Sehingga Isnin jumlah keseluruhan jangkitan dilaporkan di China sebanyak 81,518 kes, manakala kes keseluruhan kematian adalah 3,305 kes.