Pihak berkuasa China mengeluarkan arahan untuk memanjangkan tempoh cuti umum sambutan Tahun Baru Cina ekoran penularan jangkitan koronavirus di negara itu.

Wabak itu telah mengorbankan puluhan nyawa selain ribuan kes baharu dari semasa ke semasa.

Satu mesyuarat kumpulan pekerja yang dipengerusikan oleh perdana menteri Li Keqiang pada Ahad memutuskan untuk mengurangkan kesesakan orang ramai dengan kaedah melanjutkan cuti Tahun Baru Cina yang dijadualkan berakhir pada 30 Januari, lapor agensi berita, Xinhua.

Tempoh lanjutan bercuti masih belum diketahui, namun ada pihak yang menyebut kemungkinan dipanjangkan hingga 2 Februari ini.

Selain itu, turut dicadangkan adalah tarikh permulaan sekolah serta kaedah bekerja dari rumah secara dalam talian.

“Mesyuarat itu menekankan keadaan genting yang berlaku dalam usaha membendung wabak koronavirus.

“Kerajaan diminta untuk terus mengambil langkah dan perancangan yang lebih baik untuk mengekang penularan wabak berkenaan,” lapor Xinhua.

Dalam pada itu, kerajaan telah mengeluarkan arahan kuarantin di Hubei, wilayah yang menjadi lokasi pertama penyebaran koronavirus.

Koronavirus yang dikelaskan sebagai virus baharu kini memberi ancaman di seluruh dunia dan dikatakan hampir sama dengan jangkitan sindrom pernafasan akut teruk (SARS).

SARS menyerang China dan Hong Kong sekitar 2002 ke 2003 yang mengakibatkan ratusan nyawa terkorban.