China mendesak Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berhenti mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

Kenyataan tegas dari China itu dikeluarkan susulan pengumuman larangan perjalanan baharu ke atas pegawai negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata sudah beberapa kali Pompeo menyebarkan berita palsu yang mencalar reputasi China.

“Untuk beberapa ketika Pompeo telah menyebarkan laporan palsu dan mencalar reputasi China. Ia mendedahkan mentaliti era perang dingin.

“Fakta tidak boleh dipalsukan dan penipuan adalah penipuan biarpun selepas ribuan kali diulang.

“Kami meminta ahli politik Amerika supaya menghentikan perbuatan ini dan menghentikan penyebaran virus politik untuk elak jadi kecaman komuniti antarabangsa,” katanya.

Larangan perjalanan ke atas pegawai China diumumkan Pompeo pada Selasa namun ia tidak menamakan individu yang dikenakan larangan itu secara spesifik.

Begitupun, larangan itu terpakai kepada pegawai kerajaan dan ahli parti komunis yang terlibat secara langsung merangka polisi warga asing di Tibet.

Ketika mengumumkan larangan berkenaan, Pompeo mendakwa China secara sistematik mengganggu perjalanan diplomat asing, wartawan dan pelancong ke negara berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, China turut mengecam tindakan Australia menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong serta lanjutan visa kepada warga hub kewangan itu.

Beijing menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mencabuli undang-undang antarabangsa dan normal hubungan antarabangsa.

“Kenyataan dan tindakan Australia adalah pencabulan jelas undang-undang antarabangsa dan normal hubungan antarabangsa, ia juga secara jelas satu campur tangan dalam urusan domestik China.

“Kami membantah tindakan ini dan berhak mengambil tindakan lanjut. Australia perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka,” kata Zhao.

Perdana menteri Australia, Scott Morrison pada Khamis mengumumkan lanjutan visa dari dua ke lima tahun kepada warga Hong Kong malah turut menawarkan visa penduduk tetap kepada mereka.

Keputusan itu diumum sejurus selepas China meluluskan Undang-undang Keselamatan Nasional.