Cermin hadapan pesawat Airbus A380 dalam perjalanan dari Guangzhou di wilayah Guangdong ke Beijing retak seribu akibat ditimpa hujan batu dalam kejadian pada Ahad lalu.

China Southern Airlines menerusi akaun Weibo memaklumkan tiada penumpang cedera dalam kejadian itu dan pesawat CZ3101 terbabit mendarat dengan selamat di ibu negara.

“Cermin hadapan pesawat A380 itu adalah setebal tiga lapis dan hanya bahagian luar yang retak,” ujar syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Seorang penumpang mendakwa berlaku pergolakan udara luar biasa ketika pesawat itu mahu mendarat, namun kru penerbangan berjaya mengawal situasi dengan tenang.

“Kami hanya mengetahui tentang keadaan selepas turun dari pesawat,” katanya.

Mei tahun lalu, pesawat Sichuan Airlines dalam perjalanan dari Chongqing ke Tibet terpaksa mendarat cemas di Chengdu selepas cermin hadapannya retak.

Ketika kejadian itu, pembantu juruterbang turut cedera dan hampir disedut keluar dari kokpit manakala 29 daripada 119 penumpang dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. - Agensi