PAKISTAN adalah ancaman pada kewujudan India, adakah ia benar? Salah.

Dengan populasi penduduk hanya satu perempat daripada saiz saudara kembarnya, yang ekonominya sedang meledak dari dalam dan sistem politik yang tidak berfungsi sewajarnya, Pakistan hanya lebih sedikit daripada suatu cabaran strategik atau nota kaki geopolitik.

Maka, ketika dunia berasa obses terhadap pertembungan yang meningkat antara kedua-dua kuasa nuklear itu, adalah wajar untuk mengingati sebab sebenar di sebalik ketegangan tersebut, iaitu pilihan raya umum India yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dan ya, Perdana Menteri Narendra Modi sedang menghadapi cabaran terhadap kewujudannya. Namun kisah ini paling sesuai diwakili oleh sosok kurus kering, Shantabai Teral.



Shantabai merupakan seorang balu petani berusia 40-an dari daerah perladangan pokok kapas di Vidarbha. Daerah yang kini dilanda iklim kering itu terletak paling timur di negeri berpenduduk padat di tengah-tengah India, Maharashtra.

Petani seperti Shantabai membentuk 58 peratus daripada penduduk India. Sejak empat tahun lalu, ketika mana PM Modi mengagungkan potensi republik (ingat slogan 'Dibuat di India'?), ekonomi agraria -- dunia Gandhi yang terdiri daripada desa-desa kecil -- telah hampir keseluruhannya diabaikan.

Malah dalam kalangan petani, suatu majoriti besar iaitu kira-kira 86.2 peratus, memiliki tanah seluas kurang satu hektar, membuatkan kelangsungan hidup itu sendiri adalah suatu yang memeritkan.



Tanggapan salah itu adalah suatu yang tidak mengejutkan. Sudut pandang dunia bagi Parti Bharatiya Janata (BJP) adalah suatu yang mengagumkan, namun kombinasi delusional kasta atasan Brahmin dan set minda perdagangan jangka pendek Baniya, ditunjukkan melalui taikun-taikun Gujarat seperti Ambanis dan Adanis.

Tetapi kini, dengan pilihan raya yang akan berlangsung beberapa minggu lagi, dan prospek berdepan cabaran besar, Perdana Menteri dan proksinya sedang bertungkus-lumus menaikkan semangat kebangsaan --- apa saja yang boleh menutup kegagalan mereka untuk meredakan kemarahan masyarakat petani.

Malah, pada akhir tahun lalu, satu siri perhimpunan besar-besaran di Mumbai dan Delhi membawa kekecewaan luar bandar ke pentas hadapan negara. Ia menggambarkan momentum gelombang kekalahan pilihan raya memandangkan negeri Rajasthan, Chhattisgarh dan Madya Pradesh menolak kerajaan-kerajaan negeri BJP.

Kesan penolakan itu boleh dirumuskan apabila lima petani ditembak dan dibunuh dalam satu demonstrasi di bandar Mandsaur, Madhya Pradesh pada Jun 2017 lalu.



Sementara itu bagi Shantabai -- seorang ibu dengan dua orang anak yang sudah boleh berkahwin (perkahwinan anak perempuannya akan menelan belanja sekitar 100,000 rupee, satu jumlah yang memerlukannya untuk meminjam) --- keadaan sekarang kekal sentiasa suram.

Berdiri di sebelah perigi yang digali oleh pihak berkuasa di atas tanahnya, Shantabai dengan penuh kemarahan mengadu bahawa air berlumpur di dasar periginya bakal mengering menjelang Mac. Tanpa pam elektrik, tidak ada cara baginya untuk mengairkan ladangnya.

Sarinya yang merah terang kelihatan menyerlah berbanding kulitnya yang kusam dan gelap dibakar matahari. Sungguh jelas, dia juga membiarkan dirinya kelaparan demi memastikan anak-anaknya cukup makan.



Anak lelakinya, Ramesh, 20 tahun, yang merupakan buruh upahan sejak berusia 15 tahun, memandang dengan penuh hormat. Memutar-mutar tangannya, Shantabai mengenang kembali akan suatu hari --- lebih sedekad lalu --- apabila suaminya memilih untuk mengakhiri nhyawa sendiri.

"Ia bermula seperti hari-hari biasa – dia pergi ke ladang pada awal pagi. Dia tidak kembali. Pada hari berikutnya, saya pergi bekerja seperti yang saya lakukan sejak dulu lagi. Ia amat sukar bagi saya kerana saya ditinggalkan dengan dua orang anak kecil,” luah Shantabai.

Wanita itu terdiam. Kepiluan akibat kenangan itu terlalu berat dan penulis terpaksa menghimpun kisahnya daripada kawan-kawan dan jiran-jirannya. Difahamkan, pihak berkuasa membayarnya pampasan atas kematian suaminya -- berjumlah 100,000 rupee (kira-kira AS$1,408) – yang hanya cukup untuk membayar peminjam wang tempatan.



Bagaimanapun, kitaran hutang dan kekecewaan itu tidak berakhir. Beberapa tahun kemudian, saudara suaminya juga membunuh diri, menjadikan iparnya seorang balu. Satu keluarga, dua balu.

Hujan monsun yang tidak dapat dijangkakan, sebuah kerajaan yang tidak bersimpati, harga hasil pertanian yang rendah dan peminjam wang yang rakus – semua itu suatu gabungan masalah yang sudah lama menghantui masyarakat luar bandar India.

Lebih-lebih lagi, penanam kapas tempatan seperti Shantabai dengan pemilikan tanah sekangkang kera mereka tidak akan dapat bersaing dengan peladang-peladang Amerika yang menggunakan jentera dan memperoleh subsidi besar daripada kerajaan mereka.



Maka, adakah suatu yang mengejutkan bahawa dalam tahun 2018, kira-kira 2,761 petani membunuh diri di Maharashtra sahaja? Setiuap tahun di seluruh India, purata insiden bunuh diri mencecah lebih 12,000 kes. Tentunya, banyak lagi kematian seumpama itu tidak dilaporkan.

Deflasi pula menjadi komplikasi tambahan. Ketika harga bekalan (baja dan racun haiwan perosak) terus meningkat, tanaman mereka seperti tomato, kentang dan bawang yang merupakan bahan ruji bagi masakan di India, terus merosot.

Apabila penulis berlegar keliling Chowk (atau pasar) Allahabad, peniaga menunjukkan bawang-bawang yang berbentuk sempurna dari Nashik di Maharashtra, dengan mengatakan bahawa harganya jatuh sebanyak 40 peratus dalam hanya 12 bulan.



Terdapat kesilapan yang dibuat sendiri seperti demonetisasi yang mengejutkan pada akhir 2016.

Ia bertujuan untuk dijadikan cara membendung korupsi dan membiayai keganasan, tetapi kesan keseluruhannya adalah pengecutan bekalan wang yang dramatik dan berjangka panjang.

Itu mengakibatkan kesusahan teruk pada ratusan juta orang. Keadaan ini terlalu buruk hinggakan ketika penulis melawat India pada awal tahun ini, kebanyakan orang mengakui bahawa keadaan pasaran masih belum pulih ke tahap kerancakan asal.

Pada akhir Februari, kerajaan BJP yang menyedari kesilapan tindakan mereka, telah menggunakan belanjawan akhir sebagai peluang untuk meredakan kemarahan para petani.

Satu siri skim saat akhir, termasuk pemberian tunai secara langsung, mungkin memuaskan hati sebahagian daripada golongan petani, tetapi sukar untuk tidak mengakui bahawa ia terlalu sedikit, dan terlalu lewat.

Nasib Shantabai Teral sangat terdesak. Apa yang dia boleh harapkan ialah kerajaan akan campur tangan untuk menyokong harga, memberi subsidi dan melunaskan hutang.

Mengabaikan para petani dalam pasaran, seperti yang dilakukan Modi, bukanlah satu penyelesaian.

Hutang dan kesengsaraan tidak akan dapat membina India yang bersemangat dan berkeyakinan.

Maka, ketika retorik antara Delhi dan Islamabad semakin memuncak, ingatlah pada balu yang tua sebelum waktu itu. Ia adalah lambang pengabaian dan kurangnya ihsan kemanusiaan daripada BJP.





* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.