Netizen di India mengecam syarikat Snapchat gara-gara komen sensitif yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Snapchat, Evan Spiegel pada tahun 2015.

Menurut laporan portal Variety, Spiegel didakwa berkata: “Aplikasi ini adalah untuk golongan kaya sahaja. Saya tidak mahu berkembang ke negara-negara miskin seperti India dan Sepanyol,” ketika menghadiri satu mesyuarat rasmi pada tahun 2015.

Perkara ini didedahkan oleh bekas pekerjanya, Anthony Pompliano, yang memfailkan saman terhadap syarikat itu atas pemalsuan metrik pengguna pada bulan Januari lalu.

Pompliano, yang menghabiskan masa selama tiga minggu dengan syarikat itu telah diupah untuk bekerja pada pertumbuhan Snapchat, dan dia mendakwa bahawa Spiegel menolak 'negara-negara miskin' apabila membincangkan berhubung pertumbuhan Snapchat di pasaran yang berkaitan.

Perkara ini nyata mengundang kecaman netizen terumatanya di India - sehingga ada yang memadam aplikasi tersebut.

#UninstallSnapchat kini trending di media sosial.