Planet Bumi pada tahun lalu mencatatkan suhu keempat paling panas dalam rekod global, dan diramalkan kejadian gelombang haba akan berlaku lagi hingga mencapai paras yang kebanyakan negara akan kategorikan sebagai berbahaya.

Agensi berita Reuters melaporkan perkara itu berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Antara insiden ekstrem pada tahun 2018 termasuk siri kebakaran hutan di California dan Greece, kemarau di Afrika Selatan dan banjir di Kerala, India. Paras pelepasan gas rumah hijau buatan manusia, kebanyakannya dari pembakaran bahan bakar fosil, memerangkap lebih banyak haba.

Menurut Pertubuhan Meterologikal Sedunia (WMO) yang menghimpun data daripada agensi cuaca Amerika Syarikat (AS), Britain, Jepun dan Eropah, pada 2018, suhu permukaan global purata adalah 1.0 darjah Celsius lebih tinggi daripada zaman pra-industri.

"Manilai trend suhu jangka panjang adalah lebih penting daripada penarafan tahunan secara berasingan, dan trend itu kini menunjukkan peningkatan. Sepanjang 22 tahun pemantauan, 20 tahun paling panas kini sudah direkodkan,” ujar Setiausaha Agung WMO, Patteri Taalas.

Untuk menangani isu pemanasan global, hampir 200 negara mengguna pakai perjanjian iklim Paris pada 2015 untuk menghentikan kebergantungan kepada bahan bakar fosil, dan mengehadkan peningkatan suhu kepada 2 darjah Celsius pada era pra-industri.

"Impak pemanasan global untuk jangka masa panjang kini dirasai -- bah besar di kawasan psisiran pantai, gelombang haba, kerpasan (hasil pemeluwapan) yang meningkat dan perubahan iklim," ujar Institut Kajian Angkasa Goddard, Gavin Schmidt.

Tahun lalu, AS sahaja berdepan 14 bencana cuaca dan iklim dengan setiap satunya menyebabkan kerugian sehingga AS$1 bilion.

Jabatan Kaji Cuaca British, yang juga menyumbang data untuk WMO, memberitahu bahawa suhu boleh meningkat sehingga 1.5 darjah Celsius secara purata, dan itu belum lagi mengambil kira impak El Nino.

BACA: Berita buruk: Suhu lautan dunia sebenarnya meningkat dalam rekod lebih pantas - Kajian

BACA: Pencairan ais di Greenland berlaku lebih pantas daripada yang dijangka