Parlimen Britain pada Rabu meluluskan rang undang-undang untuk memaksa Perdana Menteri Theresa May meminta lanjutan bagi perjanjian Brexit.

Ketika sesi undian, rang undang-undang yang dikemukakan Yvette Cooper dari Parti Buruh mendapat kelulusan dengan majoriti satu undi - 313 menyokong berbanding 312.

"Kita berada dalam situasi yang sangat bahaya sekarang, dengan risiko serius menjalani Brexit tanpa perjanjian dalam masa 10 hari lagi," katanya.

"Sekiranya kerajaan tidak mahu bertindak segera," maka Parlimen mesti memainkan peranan, tambahnya.

Rang undang-undang itu diluluskan dalam masa satu hari sahaja, iaitu dibincangkan selama tidak sampai enam jam selepas ia dibentangkan.

Bagaimanapun, di sebalik kelulusan itu, sebarang keputusan kepada lanjutan tempoh bagi Britain mencapai kesepakatan mengenai perjanjian Brexit akan tertakluk kepada persetujuan Kesatuan Eropah (EU).

Terdahulu pada Selasa, susulan perbincangan bersama kabinet selama tujuh jam, May berkata mereka akan berusaha untuk menangguhkan tarikh Brexit sekali lagi.

Beliau turut berkata akan menemui pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn, untuk bersama mencari kesudahan perjanjian Brexit.

May berharap perjanjian itu akan selesai sebelum 22 Mei supaya United Kingdom tidak perlu menyertai pilihan raya Parlimen Eropah.

Setakat ini, tarikh akhir bagi perjanjian Brexit ditetapkan oleh EU pada 12 April.