Pentadbiran Theresa May terus berdepan tekanan apabila terbaharu, seorang menteri kerajaan melepaskan jawatan susulan usaha Perdana Menteri Britain itu untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit.

Menteri Pengangkutan Jo Johnson yang meletak jawatan pada Jumaat berkata, tindakannya itu susulan usaha Brexit yang disifatkannya tidak masuk akal.

Beliau turut menyeru supaya orang ramai diberi peluang menyuarakan semula pandangan mereka dalam satu referendum baru berhubung Brexit.

Menurutnya, dia berhenti kerana kerajaan sedang menuju ke arah Brexit, iaitu tindakan yang "tidak wajar" yang hanya akan meletakkan UK berada dalam keadaan subordinat kepada Brussels.

Dalam referendum 2016, Jo Johnson tidak menyokong Brexit, tetapi dalam kenyataannya semasa meletak jawatan, beliau berkata, rancangan Brexit May itu satu "kesilapan yang teruk".

Beliau merupakan adik kepada bekas setiausaha luar Britain, Boris Johnson.

Boris Johnson, yang menyokong usaha Brexit ketika kempen berlangsung, bertindak meletak jawatan pada Julai lalu.