Brazil mendahului senarai kemusnahan hutan hujan pada tahun lalu, walaupun aktiviti meneroka hutan di negara terbesar Amerika Selatan itu berkurangan kira-kira 70 peratus berbanding tahun 2017.

Reuters melaporkan perkembangan itu berdasarkan data daripada rangkaian badan bebas pemantauan hutan.

Menurut data Global Forest Watch, Brazil kehilangan 13,471 kilometer persegi hutan hujan pada 2018, satu kawasan yang seluas negeri Connecticut, Amerika Syarikat.

Meskipun perangkaan itu menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun sebelumnya, namun kejadian kebakaran hutan besar telah meningkatkan nilai kerugian, termasuk lenyapnya hamparan hutan tua yang menjadi kunci kepada kelestarian biodiversiti.

"Walaupun sebahagian daripada kerugian pada 2018 disebabkan oleh kebakaran, kebanyakannya adalah disebabkan oleh pembalakan di Amazon,” lapor pasukan penyelidik.

Brazil adalah 'kediaman' kepada 60 peratus kawasan hutan Amazon, iaitu hutan hujan tropika terbesar yang berperanan menyedut karbon dioksida yang tinggi jumlahnya. Ia juga disifatkan sebagai perlindungan penting bagi mengawal pemanasan global.

Republik Demokratik Congo berada di tempat kedua dalam senarai kehilangan kawasan hutan, dengan kawasan seluas 4,812 kilometer persegi sudah digondolkan.

Golongan aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) bimbang aktiviti penerokaan hutan bakal meningkat di Brazil di bawah pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.