Satu bom petrol telah dilontar ke halaman villa Canselor Myanmar Aung San Suu Kyi di sini, lapor AFP.

Lontaran bom petrol di villa mewah menghadap tasik itu berlaku ketika Suu Kyi tidak berada di kediaman tersebut, ujar jurucakap kerajaan.

"Ia adalah bom petrol," kata jurucakap itu, Zaw Htay kepada AFP, tanpa memberi sebarang butiran lanjut mengenai motif kejadian.

Bom petrol itu menyebabkan kerosakan kecil, namun serangan ke atas villa yang pernah menjadi 'penjara' Suu Kyi selama Myanmar dikuasai junta tentera itu, dilihat sebagai suatu petanda besar.

Suu Kyi kini semakin diperhatikan komuniti antarabangsa atas kegagalannya bertindak untuk membela nasib etnik Rohingya yang ditindas di negaranya.

Hampir 700,000 Rohingya telah meninggalkan negeri Rakhine untuk menyelamatkan diri di kem pelarian di Bangladesh sejak Ogos tahun lalu, dengan masing-masing membawa kisah derita tentang pembunuhan, rogol dan pembakaran khianat.