PELAKON Korea Selatan, Ma Dong Seok yang terkenal dengan lakonan cemerlangnya dalam filem ‘Train To Busan’ bakal menyertai Angelina Jolie dalam filem Marvel The Eternals.

The Eternals merupakan satu filem yang diilhamkan oleh watak komik hasil karya Jack Kirby.

Filem ini digambarkan sebagai evolusi manusia yang memiliki kekuatan luar biasa dan jangka hayat yang lebih lama daripada manusia biasa.

Setakat ini, Jolie sedang berbincang untuk memainkan watak utama The Eternals, bernama 'Sersi', dan selain itu pelakon Kumail Nanjiani juga sedang dalam perbincangan untuk menyertai filem tersebut.

The Eternals adalah salah satu daripada dua filem Marvel yang akan memulakan penggambarannya bersama dengan filem Black Widow dibintangi Scarlett Johansson.

Syarikat agensi pelakon Big Punch ENT berkata peranan pelakon itu belum lagi disahkan lagi. "Kami sedang menunggu maklum balas daripada Marvel."

Hasil lakonan Ma yang mantap di dalam Train to Busan telah menjadikannya sebagai antara pelakon yang popular di Korea.

Buat masa ini, Marvel Studios belum lagi menetapkan tarikh tayangan walau bagaimanapun The Eternals disahkan bakal memulakan penggambaran Ogos ini.