ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 25 Julai 2020.

1) COVID-19: Kes positif hampir 16 juta, korban lebih 641,000

Dunia terus mencatatkan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19. Kes positif pandemik itu kini lebih 15.8 juta. Berdasarkan data terbaharu Johns Hopkins University, jumlah itu termasuk 628,903 kematian yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

2) COVID-19: Korea Utara lapor kes pertama, pesakit bakal dikenakan hukuman

Korea Utara umum kes pertama COVID-19 di negara itu. Mangsa pertama COVID-19 dari negara itu dipercayai melintasi sempadan dari Korea Selatan secara haram pada bulan ini.

3) COVID-19: Vietnam tingkat semula tahap amaran selepas 100 hari bebas jangkitan tempatan

Vietnam kembali meningkatkan tahap amaran tertinggi pada Sabtu selepas pegawai perubatan pusat bandar Danang mengesan kes pertama COVID-19 di negara itu dalam tempoh tiga bulan.

4) Selepas 4 kali 'gagal' ujian saringan, akhirnya Presiden Brazil negatif COVID-19

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro bebas daripada jangkitan COVID-19 apabila keputusan ujian saringan keempat yang dilakukan ke atasnya adalah negatif. Kenyataan itu dibuat dalam akaun Facebook miliknya selepas beliau menjalani proses kuarantin di rumah, selepas disahkan positif dalam tiga ujian saringan sebelum ini.

5) COVID-19: Brazil batal sambutan malam Tahun Baru di Pantai Copacabana

Brazil umum batalkan sambutan Malam Tahun Baru susulan penularan wabak COVID-19. Menurut kenyataan, meskipun sambutan itu antara acara ikonik setiap tahun, namun ia tidak dapat dilaksanakan dengan mengambil kira situasi terkini virus selain dunia masih tidak mempunyai vaksin.

6) Turki dan Greece bertelagah isu status Hagia Sophia

Turki dan Greece saling bertelagah menegani isu penukaran status Hagia Sophia di Istanbul kepada masjid, sehari selepas solat fardu Jumaat diadakan buat kali pertama dalam tempoh sembilan dekad.

7) Kes perisik mengaku bersalah di AS: Tiada ancaman terus keselamatan Singapura

Siasatan berhubung kes Dickson Yeo, seorang warga Singapura yang mengaku salah pada 24 Julai lepas terhadap kesalahan bertindak atas arahan pegawai risikan China bagi mendapatkan maklumat sensitif dari Amerika, tidak menampilkan sebarang ancaman terus kepada keselamatan Singapura, lapor Straits Times.

8) Britain 'u-turn', arah pelancong Sepanyol jalani kuarantin 14 hari

Britain mengarahkan semua pelancong yang tiba dari Sepanyol untuk menjalani proses kuarantin selama dua minggu berikutan berlaku pertambahan kes baharu jangkitan COVID -19 di negara itu. Kuarantin yang berkuat kuasa mulai tengah malam pada Sabtu menyebabkan semua pelancong Sepanyol sukar untuk mengelakkannya dengan bergegas pulang.

9) 10,000 penduduk Rusia berarak bantah cara Putin tangani krisis politik

Kira-kira 10,000 penduduk Rusia berarak di bandar Khabarovsk di timur negara itu bagi membantah cara Presiden Vladimir Putin mengendalikan krisis politik dalaman.

10) Demonstrasi di Portland semakin ganas, tidak terkawal

Ribuan orang berkumpul di Portland, Amerika Syarikat pada malam Sabtu ketika demonstrasi berkaitan pembunuhan George Floyd masih terus bersemarak di negara berkenaan.