AUSTRALIA menggesa Amerika Syarikat agar membina jalinan lebih kuat di Asia bagi mengekang pengaruh China di rantau itu.

Demikian menurut laporan dasar luar negara baharu Australia yang dikeluarkan pada Khamis.

Laporan itu menyatakan, Australia percaya bahawa cabaran antarabangsa hanya dapat ditangani dengan berkesan jika wujud campur tangan negara kuasa dunia dan terkaya seperti Amerika Syarikat.

Keputusan Amerika Syarikat menarik diri dari Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) dilihat memberi kesan langsung kepada ekonomi rantau itu dan memberi peluang lebih luas kepada ekonomi China untuk berkembang.

Bagi Australia, penglibatan berterusan Amerika Syarikat dapat menjamin kestabilan dan kemakmuran di rantau itu.

Australia merupakan salah satu daripada sekutu Amerika Syarikat yang paling kuat dan sering menjalin kerjasama erat dalam konflik global.

Walaupun Australia dan China mempunyai hubungan ekonomi yang rapat, China didakwa mencurigai hubungan ketenteraan Australia dengan Amerika Syarikat.

Hubungan antara Australia dan China juga dilihat melemah tahun ini selepas Australia menolak pelaburan berprofil tinggi oleh China

Selari hasrat Australia itu, Amerika Syarikat dan beberapa sekutunya baru-baru ini telah membincangkan visi terbaru iaitu tidak lagi menggunakan perkataan Asia pasifik sebaliknya menggunakan 'Indo-Pasifik' dan ia bertujuan untuk melemahkan pengaruh China di rantau itu.