Presiden Perancis Emmanuel Macron secara terang-terangan mengumumkan, belum tiba masanya untuk Turki menjadi anggota entiti negara serantau, Kesatuan Eropah (EU).

Hakikat itu dinyatakan sendiri kepada rakan sejawatannya, Recep Tayyip Erdogan dalam satu pertemuan di Paris pada Jumaat.

Kata Macron, sudah tiba masanya untuk berhenti berpura-pura berhubung prospek keanggotaan EU untuk Turki.

"Atas keprihatinan mengenai hubungan kami dengan Kesatuan Eropah, adalah jelas perkembangan dan pilihan terkini tidak membenarkan rundingan melibatkan Turki ini diteruskan," jelas Macron dalam satu sidang media.

Rundingan keanggotaan Turki untuk EU tertangguh susulan tindakan dilaksanakan Erdogan bagi mengekang rampasan kuasa pada 2016.

Bagaimanapun, Macron mengakui adalah penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan Ankara, dan ini termasuk mempertimbangkan hal selain keanggotaan.

Sebagai contoh, EU boleh mengadakan kerjasama dengan Turki yang akan menjadi faktor kemasukan warganya ke Eropah.

Sementara itu, Erdogan menyifatkan Turki sudah keletihan melobi untuk menjadi negara anggota EU.

Erdogan juga menuduh EU tidak telus dalam hal keanggotaan hingga menyebabkan warga Turki tidak lagi mahu melihat negara itu menjadi sebahagian blok berkenaan.