Bekas perdana menteri Thailand, Yingluck Shinawatra yang kini hidup dalam pelarian, tidak memperoleh pasport Britain, kata Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.

Kenyataan beliau dikeluarkan, susulan berita awal yang melaporkan Yingluck telah diberikan pasport Britain selepas mencari suaka politik di negara itu. .

Don berkata, laporan itu tidak dilaporkan secara rasmi sama ada oleh pihak berkuasa, Thailand atau Britain.

Setakat ini, Kedutaan Britain di Bangkok tidak memberikan sebarang maklumat mahupun kenyataan mengenai Yingluck kepada Kementerian Luar, katanya.

Media Thailand sebelum ini, melaporkan Yingluck mencari suaka politik di Britain, selepas beliau secara sembunyi meninggalkan Thailand dan pergi ke Emiriyah Arab Bersatu pada Ogos.

Yingluck dilaporkan melarikan diri melalui Kemboja, dan tidak hadir ke Mahkamah Agung ketika mahkamah menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kecuaian dalam pelaksanaan skim subsidi beras.

Beliau dikatakan telah melawat abangnya, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang kini hidup dalam buangan di Dubai sejak hampir sedekad lalu.

Thaksin dan Yingluck digulingkan oleh junta tentera masing-masing pada 2006 dan 2014.

-- BERNAMA