Bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anaknya dipercayai diracun dengan agen saraf yang ditinggalkan di hadapan pintu kediaman mereka di England.

Perkara itu didedahkan polis anti-keganasan Britain dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

"Kami percaya Skripal kali pertama terdedah dengan agen saraf itu yang ditinggalkan di pintu depan kediamannya.

"Pakar kami mengenal pasti dos tertinggi agen saraf itu sehingga kini, dikesan di sekitar pintu kediaman Skripal," jelas Scotland Yard dalam satu kenyataan.

Sejak pendedahan penggunaan agen saraf dalam kes cubaan bunuh Skripal dan anaknya, Britain menuduh plot pembunuhan itu diarahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Susulan itu, Britain bertindak mengusir 130 diplomat Rusia.

Tindakan pengusiran turut diikuti negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, negara anggota dalam Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kremlin menafikan penglibatan dalam serangan itu, sebaliknya menuduh agen risikan Britain menggunakan agen saraf dikenali sebagai Novichok yang dihasilkan tentera Soviet, bagi memerangkap Rusia.

Skripal, 66 tahun dan anaknya Yulia, 33 tahun kini berada dalam keadaan kritikal, dan mungkin mengalami kerosakan otak kekal sejak ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pasaraya di bandar Salisbury pada 4 Mac lalu.

Cubaan membunuh Skripal, bekas kolonel tentera dalam risikan tentera Rusia, GRU, yang berpaling tadah, dan beralih ke MI6, menyebabkan hubungan Moscow dengan negara-negara barat kini tegang.

Siasatan kes cubaan bunuh Skripal kini masih berjalan.