BEKAS penasihat kepada bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush, lan J. Steinberg meramalkan President Donald Trump akan meletak jawatan hujung tahun ini.

Dalam sebuah artikel di NJ.com, Steinberg menulis Trump akan mengundurkan diri bagi mengelak dakwaan jenayah ke atasnya, keluarganya atau syarikat miliknya dan akan menggunakan isu lain seperti tahap rating yang rendah serta kegawatan ekonomi sebagai alasan dia mengundurkan diri.

"Trump tidak akan dipecat, sebaliknya beliau akan mengunakan jawatan presiden sebagai alat tawar-menawar untuk meletakkan jawatan sebagai pertukaran agar beliau tidak dikenakan sebarang tindakan.

Steinberg sebelum ini menjangkakan cadangan pemecatan Trump dikemukakan Parti Demokrat apabila ia memegang kuasa di Dewan Perwakilan selepas berupaya memperoleh kerusi yang mencukupi pilihan raya perwakilan baru-baru ini.

Kata Steinberg Trump akan dipecat kerana penglibatan beliau untuk mengarah bekas peguamnya Micheal Cohen yang membuat pembayaran kepada seorang wanita yang dikatakan ada hubungan dengan Trump beberapa bulan sebelum pemilihan presiden.

Bagaimanapun Steinberg turut menjangkakan pemecatan berkenaan tidak akan berhasil kerana ia tidak akan memperoleh sokongan Dewan Senat.

Cakap-cakap mengenai pemecatan Trump bukan perkara baharu.

Pada May 2017 umpamanya, akhbar The Washinton Post menulis tindakan pemecatan itu harus dibuat antaranya berikutan siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terhadap hubungan Trump dengan Rusia.