Bapa saudara kanak-kanak lapan tahun yang mati ditikam di United Kingdom pada Sabtu, pernah berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada anak-anak pasangan pelakon Angelina Jolie dan Brad Pitt.

Mark Billingham yang merupakan bekas anggota Tentera Udara Perkhidmatan Khas (SAS) Britain berkhidmat untuk keluarga Pitt dan Jolie selama 18 bulan.

Menurut laporan Mirror, beliau pernah mendakwa sebagai 'bapa' kepada Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, Knox dan Vivienne,

"Saya amat rapat dengan mereka. Saya bawa mereka bersiar-siar, menemani mereka bermain dan mengajar mereka berenang.

"Ada masanya, saya rasa seperti sayalah bapa mereka, bukan Pitt," katanya dalam satu temuramah ketika menyertai program realiti SAS Who Dares Wins.

Susulan kematian anak saudaranya yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam, Mark memberitahu keluarganya tidak akan membuat sebarang kenyataan.

"Tolong hormati keluarga kami yang masih bersedih ketika ini," katanya

Dalam kejadian pada Sabtu, Mylee ditemui dengan kesan tikaman pada jam 9.15 malam (waktu tempatan).

Dia dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

Laporan beberapa portal berita United Kingdom, ibu kanak-kanak berkenaan memaklumkan Mylee ditikam oleh pasangannya, Bill Billingham.