Seorang warga emas maut diserang sebelum dibunuh anaknya sendiri ketika sedang menjalani sidang video di aplikasi Zoom.

Mangsa Dwight Powers, 72, dilapor dipukul dan ditikam bertubi-tubi Thomas Scully-Powers, 32, dalam insiden di Long Island, Amerika Syarikat (AS) pada tengah hari Khamis.

Ketika kejadian, Dwight dilapor sedang mengadakan sidang video bersama 20 peserta lain sebelum tiba-tiba diserang Thomas.

Peserta sidang video berkata melihat seorang lelaki botak dan bertatu tanpa pakaian telah memukul Dwight hingga jatuh dan kemudian menarik cadar dipercayai untuk menutup mayat mangsa.

"Kain cadar ditarik seorang lelaki yang nampak tidak berpakaian, botak dan bertatu di lengan kiri.

"Suspek kemudian meletakkan cadar di atas lantai seolah menutupi sesuatu," kata saksi yang tidak mahu dinamakan, lapor WABC.

Selepas membunuh bapanya, Thomas melompat keluar rumah dari jendela dan cuba melarikan diri.

Thomas walau bagaimanapun berjaya ditangkap sejam kemudian setelah peserta sidang video melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Suspek yang mengalami kecederaan ketika terjun dari tingkap kini dirawat di hospital.

Menurut Polis Suffolk County, motif kejadian masih disiasat dan maklumat lanjut akan diumumkan setelah suspek dibenarkan keluar dari hospital.