Pemburu haram menembak mati seekor badak sumbu di sebuah taman hidupan liar di timur laut India hanya beberapa jam selepas dilawat oleh Putera William dan isterinya Kate, lapor pegawai hidupan liar pada Jumaat.

Renjer menjumpai bangkai badak sumbu berkenaan yang sudah kehilangan sumbunya pada Khamis - hari yang sama pasangan diraja tersebut meninggalkan Taman Negara Kaziranga di sini yang menempatkan dua pertiga badak sumbu bersumbu tunggal yang masih ada di dunia.

“Pemburu menggunakan senapang AK-47 untuk membunuh badak jantan dewasa tersebut kemudian mengambil sumbu,” ujar pegawai kanan perhutanan Subasish Das.

Kaziranga berhadapan dengan kesukaran melawan pemburu haram yang membunuh badak untuk mendapatkan sumbu yang dijual dengan harga tinggi di beberapa negara Asia dan biasanya digunakan untuk tujuan perubatan atau dijadikan perhiasan.

Dalam lawatan ke Kaziranga, Putera William dan Kate bertemu dengan pegawai hidupan liar yang bertanggungjawab melindungi badak sumbu daripada pemburu haram, malah sempat menyusukan anak badak sumbu dengan botol susu besar.