Menteri Luar Australia, Julie Bishop menuduh pihak Rusia atas tindakan yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines terhempas di timur Ukraine, hari ini.

Kejadian yang berlaku pada tahun 2014 di mana pesawat terhempas itu telah menyebabkan sebanyak 298 nyawa penumpang melayang, termasuk 38 warga Australia.

“Kini Australia dan Belanda telah memaklumkan kepada Rusia bahawa kami memegang tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa atas peranannya yang menyebabkan pesawat MH17 terhempas.

“Australia dan Belanda telah meminta Rusia untuk mengadakan rundingan dalam melakukan dialog mengenai tindakannya dan ingin menuntut pampasan,” katanya kepada wartawan di bandar selatan Melbourne.

Beliau memberikan kenyataan sehari selepas pasukan penyiasat antarabangsa berkata peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 milik unit ketenteraan di Rusia berikutan penelitian kajian video dan foto daripada konvoi ketenteraan.

Rusia menafikan penglibatan atas kejadian pesawat MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terkena serangan peluru berpandu pada 33.000 kaki (sekitar 10,000 meter) atas zon perang yang melanda di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Ketua Skuad Jenayah Negara Belanda, Wilbert Paulissen membuat kesimpulan bahawa sistem peluru berpandu Buk Telar yang telah menyebabkan pesawat MH17 ditembak datang daripada pasukan peluru berpandu sistem anti-pesawat ke-53 dari Kursk, Rusia.

Ia merupakan penemuan yang paling jelas dibuat oleh para penyiasat dalam penglibatan tentera Rusia menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara yang menyerang pesawat model Boeing 777 dan penemuan berkenaan juga digunakan oleh kumpulan penyiasatan Bellingcat pada tahun 2016.

Barangan, serpihan dan bangkai pesawat yang terbakar setelah terhempas di kawasan berdekatan ladang bunga matahari berdekatan kampung Hrabove yang dipimpin oleh pemberontak di rantau Donetsk, timur Ukraine iaitu kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia.

Khamis lepas, Rusia mengkritik Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) kerana bergantung kepada tuntutan oleh kumpulan penyiasat Bellingcat.

Kementerian Luar Rusia juga mengkritik terhadap penyiasat kerana didakwa mengabaikan keterangan yang diberikan oleh Rusia, termasuk pengawasan radar ruang udara pada masa penerbangan.