BEKAS Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengesahkan isteri beliau, Ani Yudhoyono sedang dirawat di National University Hospital Singapura akibat kanser darah.

Berita sedih itu disampaikan Susilo dalam sebuah rakaman video di negara berkenaan seperti dilaporkan portal berita CNN Indonesia pada Rabu.

"Dengan rasa prihatin, saya sampaikan kepada para sahabat di tanah air, Ibu Ani mengalami blood cancer atau kanser darah. Kerana itu, beliau harus menjalani rawatan yang intensif di National Universtiy Hospital Singapura," kata Susilo yang juga Presiden keenam negara itu.

Media Indonesia melaporkan, Ani atau nama sebenarnya, Kristiani Herawati dirujuk ke hospital berkenaan sejak 2 Februari lalu dan sejak itu Susilo menemani isterinya menjalani rawatan dan pemantauan doktor di Singapura.

Sehubungan itu, Susilo memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi sejumlah undangan sejak beberapa hari lalu.

SBY lantas memohon maaf karena tidak dapat menghadiri undangan sejumlah kegiatan dalam beberapa hari terakhir.

"Sebagai seorang suami, tentu saya harus mendampingi Ibu Ani dalam menghadapi ujian dan cubaan Tuhan ini," kata Susilo lagi.

Menurut Susilo lagi, isterinya seorang wanita yang sangat kuat dan tabah dalam menjalani cabaran dalam hidup termasuk ketika beliau bergelar ketua negara yang mempunyai populasi hampir 270 juta.

Mengenang jasa dan pengorbanan isterinya itu, Susilo berkata, beliau dan seluruh ahli keluarganya akan menemani Ani.

"Saya, Ibu Ani dan keluarga harus bersatu dalam semangat keyakinan dan kekuatan agar semua ikhtiar untuk penyembuhan Ibu Ani dengan izin pertolongan Allah dapat berhasil dengan baik," ujar beliau.

Sementara itu, di laman-laman sosial, netizen turut mendoakan kesejahteraan Ani. Doa-doa turut dititipkan beserta hashtag #CepatSembuhBuAni.