Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan Thailand diarahkan minum darah ular dan makan kala jengking dalam hutan sebagai latihan ikhtiar hidup, pada Isnin.

Ia sebahagian daripada aktiviti menarik dalam permaianan perang Cobra Gold antara kedua-dua negara itu.

Memasuki tahun ke-37 penganjuran, Cobra Gold adalah salah satu daripada pengisian latihan ketenteraan terbesar di Asia, yang menghimpunkan ribuan anggota tentera dari AS, Thailand dan beberapa negara lain dalam program luar selama 10 hari.

Pada Isnin, ratusan tentera laut AS dan Thai mengambil bahagian dalam latihan ikhtiar hidup dalam hutan di pangkalan tentera marin Thailand di daerah Chon Buri.

Seorang anggota tentera AS cuba menelan darah ular tedung yang diperah ke dalam mulutnya. - Reuters

Di situ mereka bergilir-gilir minum darah ular tedung sebelum seterusnya memakan ular tersebut yang sudah dipotong dan dipanggang.

Askar Thai juga mengajar kumpulan itu kaedah membuang bisa pada kala jengking dan labah-labah tarantula sebelum memakan haiwan berkenaan.

Turut diajar adalah cara mencari air dari akar pokok dan mengenal pasti tumbuhan yang boleh dimakan.

“Kunci ikhtiar hidup adalah untuk mengetahui apa yang bioleh dimakan,” ujar Sarjan Mejar Chaiwat Ladsin, yang mengetuai latihan tersebut.

Dalam latihan itu juga, peserta latihan dilihat mencuba makan cicak hutan yang masih mentah.

"Ini pastinya kali pertama saya minum darah ular. Ia bukan sesuatu yang biasa di Amerika.

“Saya rasa saya boleh lakukan sendiri di dalam hutan. Paling berharga adalah cara mendapatkan air dan mengenal tumbuhan yang boleh dimakan,” kata Sarjan Christopher Fiffie kepada AFP.

Latihan Cobra Gold tahun ini disertai sejumlah 6,800 anggota tentera AS ke permainan perang tersebut. Jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding penyertaan tahun lalu.

“Objektif latihan ini adalah tentang mengeratkan kerjasama dalam hal-hal bantuan kemanusiaan dan bencana, selain projek kemasyarakatan,” ujar jurucakap kedutaan AS, Stephane Castonguay.

Pasukan tentera dari Indonesia, Jepun, Malaysia, Korea Selatan dan Singapura juga menyertai latihan ketenteraan tahun ini.