Utusan khas pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga pelakon wanita Hollywood terkenal, Angelina Jolie, mendesak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) agar menghentikan keganasan seksual terhadap wanita dalam peperangan.

Sebagai satu usaha memperjuangkan hak wanita, Jolie menggunakan kedudukannya untuk bersuara agar keganasan seksual sebagai senjata peperangan dihentikan.

“Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak terutama sekali serangan seksual hanya akan mengeruhkan lagi sesebuah konflik,” kata beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat NATO, di sini.

Beliau yang baru sahaja melawat kem pelarian Syria di Jordan awal minggu ini menambah: "Rogol digunakan sebagai senjata untuk mencapai matlamat ketenteraan dan politik. Perkara ini bukan sahaja memberi kesan terhadap golongan wanita malah golongan lelaki dan kanak-kanak."

Susulan perkara itu, NATO bersetuju untuk membawa kes-kes keganasan seksual ke muka pengadilan dan turut mencabar tanggapan bahawa rogol ketika peperangan sebagai satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Ibu kepada enam anak itu memberitahu, beliau telah banyak menerima rintihan dan aduan daripada mangsa-mangsa keganasan seksual ketika berlakunya peperangan.

Beliau jelas kecewa kerana pelbagai pihak yang kurang memberi bantuan kepada mangsa jenayah seksual.

Oleh itu, beliau mengharapkan pihak NATO mampu meningkatkan standard program ketenteraan dan menambah baik peranan wanita dalam pasukan tentera.

“Saya sangat mengambil berat tentang Rohingya, lebih-lebih lagi mengenai kisah seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun yang dirogol,” jelasnya.

Dalam sidang media tersebut, beliau sangat bersedih dengan krisis pelarian pada ketika ini yang semakin membimbangkan.