PEJABAT Meteorologi United Kingdom mengeluarkan amaran merah bagi bahagian selatan Wales dan barat daya England selepas dilanda Ribut Emma.

Amaran itu bermula dari utara Cardiff ke selatan Exeter yang dijadual berlangsung dari 3 petang Khamis hingga 2 pagi Jumaat waktu tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, salji tebal serta angin kuat dijangka melanda kawasan terbabit.

"Ia dijangka mengakibatkan kelewatan kepada perkhidmatan pengangkutan awam. Malah, ia juga mungkin menyebabkan jalan diliputi salji yang bakal mengakibatkan kesesakan," jelas kenyataan terbabit.

Malah, gangguan bekalan tenaga elektrik juga dijangka berlaku akibat pokok tumbang serta struktur berkaitan selepas salji lebat dijangka turun.