Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) akan turut menyertai siasatan kejadian pesawat Boeing terhempas di Iran, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman sosial Twitter, agensi itu mengakui, sudah menerima maklumat rasmi oleh Iran mengenai kemalangan yang berlaku pada Rabu.


“Pihak NTSB sudah melantik wakil bagi menyiasat kemalangan pesawat tersebut.

“Pihak NTSB akan terus meneliti situasi mengenai kemalangan dan menilai keperluan pihak kami dalam menyertai kes ini.

“Seperti mana-mana kes siasatan yang kami jalankan, NTSB tidak akan meletakkan spekulasi terhadap punca kemalangan tersebut,” kata NTSB.

“Pihak NTSB sudah memberi respon kepada Ketua Penyiasat dan bersetuju untuk menghantar wakil,” kata Farhad Parvaresh, wakil Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberitahu kepada agensi Reuters.

Menurut Parvesh, Kanada yang mempunyai berpuluh-puluh penumpang warganya di atas kapal yang terhempas itu juga telah menugaskan seorang pakar dalam siasatan ini.

Sementara itu, satu pasukan dari Ukraine turut mengadakan perbincangan di Tehran pada hari Khamis.

Penerbangan PS752 terhempas hanya selepas beberapa minit berlepas dari lapangan terbang Tehran, tanpa mesej daripada juruterbang jika berdepan masalah, menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Iran.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata, beberapa sumber risikan menunjukkan Iran menembak jatuh pesawat itu selepas ia berlepas dari Tehran.

Memetik maklumat daripada sekutu dan risikan Kanada sendiri, Trudeau berkata, pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu permukaan ke udara (SAM).

“Kita tahu ini mungkin tidak sengaja. Rakyat Kanada ada persoalan dan mereka berhak mendapat jawapan,” kata Trudeau.

Pesawat Boeing 737-800 itu membawa penumpang warga Iran seramai 82 orang, 63 Kanada, 11 Ukraine, 10 Sweden, empat Afghanistan, tiga rakyat Jerman dan tiga dari Britain.