PARLIMEN di Westminster mungkin terpaksa tutup pintu dan bersidang secara jarak jauh akibat penularan virus korona yang semakin teruk melanda United Kingdom.

Kehadiran begitu ramai ahli Parlimen – lebih 1,300 di kedua-dua Dewan Atasan dan Dewan Rakyat – dalam ruang sesak menyebabkan mereka duduk bertemu punggung dan berlaga bahu sepanjang sesi perbahasan.

Dewan Atasan (House of Lords) lebih terkesan kerana lebih 100 anggota yang dilantik atas pengalaman mereka dalam pelbagai bidang, berumur 80 tahun ke atas.

Dewan Rendah (House of Commons) jauh lebih 'remaja' walaupun purata umur wakil rakyat mencecah angka sekitar 70 tahun.

Jangkitan COVID-19 lazimnya lebih berbahaya dalam kalangan pesakit yang berumur berbanding golongan yang muda dan dikira lebih tinggi tahap imuniti.

Speaker House of Commons, Sir Lindsay Hoyle sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Kesihatan England untuk menentukan tindakan yang sepatut diambil sekira penularan bertambah teruk.

Ahli Parlimen menimbulkan keadaan di mana jika ada seorang yang jatuh sakit, besar kemungkinan jangkitan akan merebak pada kadar cepat kerana kesesakan yang dihadapi.

Ahli Parlimen mencadang supaya perbahasan dilakukan secara hubungan video dan undian dilakukan secara elektronik supaya ahli kedua-dua dewan tidak perlu hadir di Westminster.

Buat sementara waktu, Perdana Menteri Boris Johnson hanya mampu menenangkan kegusaran ahli Parlimen dengan memberi nasihat agar kerap basuh tangan.

Nasihatnya nampak diterima ramai kerana sejak kebelakangan ini, jumlah sabun pencuci yang diguna di Parlimen alam masa seminggu sudah melebihi jumlah yang selalunya diguna sebulan!

Sementara itu, Ratu Elizabeth turut mengambil langkah mengelak terkena jangkitan virus korona sewaktu acara pengurniaan pingat diraja.

Baru-baru ini, Ratu Elizabeth kelihatan memakai sarung tangan panjang apabila mengenakan lencana anugerah darjah kebesaran – sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.