Kesemua sambungan hotline bagi sebuah organisasi sosial di Tokyo, Jepun tidak berhenti berdering pada jam 8 malam.

Sejurus talian dibuka, para sukarelawan menerima panggilan bertalu-talu daripada mereka yang menyuarakan hasrat mendapatkan bantuan. Kebanyakannya mengadu bahawa hidup telalu sukar dan ingin membunuh diri.

"Adakah ada masalah di tempat kerja, atau sesuatu berlaku di rumah?

“Adakah anda rasa anda mahu mati?” tanya salah seorang sukarelawan, Machiko Nakayama, berusia 60-an, yang bercakap dengan nada lembut.

Di negara Jepun yang tidak banyak ruang untuk hal peribadi, golongan pakar dan sukarelawan berpendapat bahawa dengan memberikan peluang kepada seseorang untuk mengekspresi perasaan, banyak membantu mengurangkan kes bunuh diri.

Mengikut rekod, keberkesanan itu mencapai 40 peratus berbanding trend yang pernah memuncak pada tahun 2003.

Masyarakat Jepun yang terlalu banyak berfikir tentang kerja dan sering berkejar dengan waktu, lazim tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. - Reuters

"Hakikat bahawa saya tidak boleh bercakap tentang perasaan membuatkan hidup jadi lebih tertekan,” ujar aktivis dan juga penulis, Akita Suei.

Ibunya sendiri telah membunuh diri pada tahun 1955 ketika Akita masih kecil.

"Maka, apabila akhirnya saya dapat berbicara dengan seseorang, tiba-tiba saja mood saya menjadi lebih baik,” kongsinya.

Beroperasi setiap hari, selalunya dari jam 8 malam hingga 5.30 pagi, telefon-telefon di Befrienders Worldwide Tokyo sering saja berdering, dan disambut oleh kira-kira 40 sukarelawan yang bekerja secara berempat dalam satu masa, dan berganti-ganti dalam empat syif kerja.

“Jika telefon-telefon itu berhenti berdering untuk beberapa minit, kami bimbang jika mereka sedang dalam keadaan patah hati,” ujar Nakayama, yang sudah bertugas secara sukarela selama 20 tahun dan kini menjadi pengarah organisasi itu.

Befrienders adalah salah satu daripada badan yang menawarkan perkhidmatan hotline di seluruh Jepun.

Di rangkaian laluan kereta api bawah tanah yang sering menjadi lokasi bunuh diri, organisasi-organisasi itu lazimnya mengiklankan perkhidmatan mereka dengan mesej seperti: “Adakah anda berasa sedih? Ada orang yang akan membantu anda.”

"Masyarakat di sini masih tertutup. Sangat sulit untuk bercakap tentang hal-hal peribadi – terutamanya bagi lelaki, yang sejak dahulu tidak mahu berkongsi cerita mereka pada orang lain,” ujar pengarah bersama, Yoshie Otsuhata.

Pada 2018, kebanyakan pemanggil adalah dari lingkungan usia 30-an dan 40-an, dengan 56 peratus daripada mereka merupakan wanita dan 43 peratus lagi lelaki.

Apabila terlalu bersendiri dan tidak berkongsi perasaan, seringkali terlintas perkara-perkara 'aneh' yang dalam fikiran. - Reuters

Mendengar mampu selamatkan nyawa

Kira-kira 450 kilometer di utara Tokyo, di kawasan luar bandar Akita, juga menawarkan perkhidmatan seumpamanya. Sejak berdekad-dekad lamanya kawasan itu mencatatkan kadar kes bunuh diri yang tinggi di Jepun.

Selain talian hotline, terdapat juga sekumpulan ‘pendengar’ yang terlatih, yang mendekati golongan sunyi dan warga tua.

Sumiko, seorang wanita berusia 73 tahun yang keadaannya terlantar selepas terjatuh, merasakan dirinya tidak lagi bermakna. Sehinggalah Ume Ito, seorang pendengar, hadir melawatnya dua tahun lalu.

"Sebelum ini orang sekadar menelefon, dan akan kata 'teruskan hidup' dan kemudian meletakkan telefon," imbas Sumiko yang kini berbaring di atas tilam dalam bilik tanpa jendela di kediaman anak lelakinya. Dua telefon bimbit diletakkan di sisinya.

Ito berkata, kebanyakan orang yang dia temui pada mulanya sudah nekad untuk bunuh diri. Namun selepas beberapa minggu atau bulan, mereka berubah fikiran dan menjadi lebih positif.

"Tugas kami adalah memberikan mereka ruang yang cukup dalam hati mereka untuk berfikir,” ujarnya.

Sumiko, yang tahap kesihatannya semakin baik, memberitahu kunjungan Ito telah memberikannya matlamat hidup yang baharu.

"Saya mahu jadi lebih kuat secepat mungkin dan nanti akan jadi seorang pendengar juga. Jika saya boleh membantu satu atau dua orang lain, itu sungguh hebat,” katanya.