KEMPEN sulit dron perang Amerika Syarikat didapati membunuh lebih ramai orang awam dari suspek pengganas yang disasarkan.

Pendedahan yang dibuat pengasas Wikileaks, Julian Assange, menunjukkan bahawa 90 peratus individu yang terbunuh dalam serangan dron AS adalah orang awam yang tiada kaitan dengan gerakan pengganas dan tiada di dalam senarai pengganas atau penjenayah yang dikehendaki negara Uncle Sam itu.

Kempen yang dimulakan di bawah pemerintahan bekas Presiden George W. Bush sebagai salah satu komponen ‘War on Terror’ itu juga didapati semakin meningkat selepas pemerintahan Presiden Donald Trump.

Sebanyak 57 serangan dron di Pakistan, Somalia dan Yaman sewaktu pemerintahan Bush menyebabkan kematian orang awam sekitar 384 hingga 807 orang, sementara Barack Obama telah mengembangkan kempen tersebut dan melancarkan 563 serangan udara di tiga negara berkenaan.

Di bawah pengawasan Trump, kadar serangan dron terhadap tiga negara tersebut meningkat dengan drastik.

Pada 2017, sebanyak 127 serangan dron telah dilancarkan ke atas Yaman berbanding 32 pada tahun sebelumnya.

Di Pakistan dan Somalia, bilangan serangan turut meningkat di mana 34 serangan dron telah dilancarkan di Somalia pada 2017 berbanding jumlah yang sama sepanjang tahun 2001 hingga 2016.

Bilangan mangsa di kalangan orang awam yang terbunuh dilaporkan meningkat lapan kali ganda sejak pemerintahan Trump berbanding Obama, manakala bilangan kematian di bawah Obama merupakan 10 kali ganda jumlah korban di zaman Bush.

Ini menjadikan jumlah kematian di bawah pemerintahan Trump 80 kali ganda lebih daripada Bush.

Jumlah kematian orang awam di Iraq, Libya dan Syria dilaporkan berada di antara 3,923 dan 6,102 orang sejak Trump menjadi presiden.

Tindakan Trump mengejutkan ramai pihak kerana dia membawa slogan anti-peperangan sewaktu kempen presidennya.

Malah, dia dilaporkan menolak sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat melancarkan serangan di Libya dan Iraq yang menyebabkan lebih sejuta kematian.

Memetik laporan Russia Today, lebih 14,000 orang awam terbunuh sejak gabungan yang diketuai Arab Saudi, dan disertai Amerika Syarikat, melancarkan serangan terhadap Yaman.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), jumlah kematian orang awam akibat serangan kuasa asing adalah jauh lebih tinggi dari jumlah rasmi yang dicatatkan.

Selain itu lebih 17 juta lagi penduduk negara itu berdepan krisis makanan dan lebih 600,000 dilaporkan menghidap kolera, di mana lebih 2,000 daripadanya meninggal dunia.

Serangan Amerika Syarikat terhadap Yaman menyebabkan lebih 14,000 orang awam terbunuh