MINGGU lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 40 nyawa terkorban akibat keganasan tercetus antara masyarakat Hindu dan Islam di India, khususnya di New Delhi.

Pihak polis pada Jumaat memaklumkan bahawa ratusan telah ditahan dan tahap keselamatan ditingkatkan di daerah tersebut.

Kata jurucakap polis Delhi M.S. Randhawa, polis masih dalam proses mengumpul maklumat serta menyemak rakaman video rusuhan dan kini telah menahan lebih 600 orang.

“Tahanan perlu dibuat untuk memastikan situasi terkawal,” kata Randhawa kepada media tempatan.

Keganasan tercetus akibat undang-undang kewarganegaraan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

Menurut pengkritik, undang-undang tersebut memihak kepada masyarakat minoriti di negara jiran, kecuali umat Islam.

Selain itu, India turut menyaksikan ketegangan meningkat susulan kuasa autonomi kepada masyarakat majoriti Islam seramai 200 juta orang di Jammu dan Kashmir ditarik.

Namun, keganasan memuncak pada Ahad apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat lawatan rasmi ke India.

Masyarakat sedunia mengkritik pihak polis di New Delhi kerana gagal mengawal rusuhan itu sehingga ratusan penduduk mengalami kecederaan.