Sekurang-kurangnya 25 maut manakala 30 lagi cedera apabila tornado melanda bandar Nashville, Tennessee, pada awal pagi Selasa.

Gabenor Tennessee, William Lee, berkata jumlah korban dijangka meningkat selepas pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 15 jam selepas kejadian itu berlaku.

Reuters melaporkan, Lee enggan mendedahkan bilangan mangsa yang dilaporkan hilang buat masa ini, namun sebahagian besar daripada mangsa yang maut iaitu seramai 19 orang adalah dari Putnam di bahagian timur Nashville.

Sehingga tengah hari ini, laporan media tempatan menyebut sekurang-kurangnya 48 buah bangunan musnah dan banyak lagi mengalami kerosakan akibat puting beliung berkenaan yang melanda kawasan itu kira-kira jam 1 pagi.

Nashville mempunyai populasi 691,000 penduduk dan merupakan salah satu bandar paling besar di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, dalam laman Twitter rasminya, memberi sokongan moral kepada penduduk yang terjejas dan memberi jaminan pentadbirannya akan memberi bantuan sewajarnya.

“Doa untuk mereka yang terjejas oleh bencana di Tennessee. Kami akan terus memantau perkembangan kejadian ini. Kerajaan persekutuan akan sentiasa berada bersama anda dalam keadaan sukar ini,” katanya.

Trump dijadualkan melawat kawasan yang terjejas pada Jumaat.

Setakat ini, daerah Davidson, Wilson dan Putnam dilaporkan mengalami kerosakan paling teruk akibat puting beliung itu berbanding daerah lain.