SEKURANG-KURANGNYA 20 pelarian dikhuatiri lemas dalam dua kejadian bot karam di laut Mediterranean.

Organisasi Antarabangsa Bagi Pelarian (IOM) yang mengesahkan kejadian berkata lebih 100 pelarian menaiki dua buah bot kayu dan getah karam di perairan Libya.

Sejumlah 72 mangsa berjaya diselamatkan kapal dagang dari Cyprus.

Saksi berkata 21 orang pelarian telah hilang ketika kejadian yang berlaku pada malam Selasa itu.

Menurut seorang mangsa yang ditemui di Pelabuhan Pozzallo, Sicily kebanyakan yang lemas adalah wanita.

"Terdapat lima wanita lemas termasuk seorang wanita mengandung dan adik saya sendiri," jelasnya.

Sementara itu, menurut jurucakap IOM Flavio Di Giacomo, 90 lagi pelarian berjaya diselamatkan pengawal pantai Libya.

"Kami tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku, tetapi beberapa keluarga telah terpisah dan kami sedang cuba untuk menyatukan mereka semula," jelasnya.

Kementerian Dalam Negeri Itali berkata 5,300 pelarian direkodkan tiba di negara itu bermula Januari tahun ini dengan lebih 300 pelarian maut akibat lemas.

Jumlah itu dikatakan 66 peratus lebih rendah berbanding yang pernah direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.