SEKURANG-kurangnya 14 kanak-kanak maut dalam kejadian rempuhan yang berlaku di sebuah sekolah di barat Kenya pada Isnin.

Memetik laporan AP, pihak berkuasa memaklumkan, kejadian yang berlaku selepas waktu persekolahan itu turut mencederakan 39 kanak-kanak yang lain.

Pesuruhjaya Polis Daerah Kakamega County, Anne Ngetich memaklumkan, punca berlakunya rempuhan itu masih belum dapat dipastikan.

Namun, pihaknya menafikan kemungkinan ada antara pelajar yang ditakutkan sehingga menyebabkan rempuhan berlaku.

Berdasarkan siasatan awal, pihak sekolah memaklumkan kejadian rempuhan berlaku selepas pelajar dilepaskan pulang.

Dalam pada itu, BBC melaporkan ada pelajar berkemungkinan jatuh akibat tangga runtuh semasa mereka sedang berjalan keluar dari sekolah dan itu mencetuskan rempuhan.

Kementerian Pendidikan negara itu menyampaikan ucapan takziah buat keluarga yang kehilangan anak mereka dalam insiden ini.

Tahun lalu, media tempatan melaporkan dua kematian akibat kecuaian pihak sekolah.

Kes seumpamanya juga berlaku September lalu, apabila tujuh pelajar maut apabila struktur bangunan sekolah runtuh.