Seramai 12 orang maut manakala lebih 40 cedera dalam sebuah kebakaran di sebuah bangunan milik syarikat animasi Jepun, Kyoto Animation di barat Kyoto, di sini pada pagi Khamis.

Kebakaran tersebut dipercayai angkara seorang lelaki yang mencetuskan suana huru-hara dengan menyembur cecair dalam bangunan tersebut sekitar 10.30 pagi.

Siasatan awal polis turut menemui beberapa bilah pisau.

Saksi kejadian berkata, mereka terdengar beberapa letupan dan ternampak asap hitam keluar dari bangunan tersebut.

Syarikat animasi ternama itu telah menghasilkan beberapa siri dan filem animasi terkenal seperti “K-On!”, “Suzumiya Haruhi no Yuutsu” (“Melankoli Haruhi Suzumiya”), dan “Koe no Katachi” (“Bentuk Suara”).

Karya-karya syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu popular dalam kalangan remaja.

Peminat-peminat hasil karya syarikat tersebut telah meluahkan rasa kesal mereka terhadap tragedi tersebut di pelbagai platform media sosial.