FACEBOOK merupakan salah satu hasil ciptaan terbaru dalam perkembangan dunia teknologi maklumat hari ini yang digunakan dalam dunia teknologi internet. Facebook adalah salah satu media perhubungan sosial yang sangat terkenal yang diwujudkan pada awal 2004 yang lalu di Amerika Syarikat oleh seorang mahasiswa Harvard yang bernama Mark Zuckerberg.

Melalui rangkaian atau jaringan sosial Facebook ini, seluruh golongan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, dan agama serta yang mempunyai talian internet dapat berinteraksi dengan sesiapa sahaja samada yang berada di Malaysia mahupun di serata dunia.

Pengguna Facebook boleh mempamerkan apa sahaja yang mereka ingin orang lain tahu berkenaan dengan diri mereka di laman Facebook mereka seperti tarikh kelahiran, hobi, matlamat masa hadapan, aktiviti harian dan banyak lagi.

Seperti jutaan manusia di seluruh dunia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga telah menyertai rangkaian laman web sosial terbabit untuk berhubung dengan seluruh rakyat Malaysia, dengan harapan untuk merapatkan jurang politik antara generasi lama dan muda.

Melalui akaun Facebook beliau "Najib Razak", Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah banyak mengeluarkan kenyataan serta sentiasa mengemaskini aktiviti - aktiviti yang dilakukannya oleh beliau dengan penuh mesra melalui laman Facebook beliau.

Walaupun terdapat banyak kebaikan dan manfaat yang boleh diperolehi melalui penggunaan Facebook, pengguna juga boleh mendapat keburukan melaluinya jika ia disalahgunakan.

Malangnya, terdapat segelintir individu telah mengambil kesempatan dengan kemudahan teknologi internet yang ditawarkan melalui medium Facebook ini dengan menyalahgunakannya untuk kepentingan diri sendiri ataupu untuk tujuan - tujuan tertentu yang tidak mendatangkan apa - apa faedah serta mencetuskan suasana huru - hara dalam masyarakat. Individu yang tidak bertanggungjawab terbabit telah mengunakan saluran Facebook untuk menghantar maklumat yang salah dan palsu serta menyebarkannya kepada semua pengguna Facebook.

Sekirannya pihak yang difitnah tidak boleh menerima penyebaran fitnah yang dikenakan ke atas mereka, pasti akan berlaku salah faham dan pergaduhan serius. Lebih teruk lagi, wujud juga kes dimana Facebook telah disalahgunakan untuk memerangkap golongan tertentu seperti kanak - kanak dan remaja bagi tujuan jenayah.

Pelbagai jenis undang-undang telah wujud di Malaysia boleh dikuatkuasakan bagi mengawal selia segala yang berlaku dalam dunia siber ini termasuk facebook seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Fitnah 1957 [Akta 286] serta Kanun Keseksaan [Akta 57]).

Kes yang melibatkan penyalahgunaan internet termasuk facebook ini boleh dikurangkan dengan penguatkuasaan berterusan dengan mengunakan undang - undang yang sedia ada. Sebagai langkah pengawalan pengunaan internet, pihak kerajaan juga telah melakukan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950 [Akta 56] yang melibatkan prosedur perundangan bagi proses pembuktian jenayah internet termasuklah facebook.

Pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 April 2012 dan mula berkuatkuasa mulai 31 Julai 2012 yang lalu. Pindaan Akta 56 terbabit telah dilakukan dengan penambahan Seksyen 114A yang bertajuk "Andaian Fakta dalam Penerbitan". Seksyen 114A terbabit boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap "bertanggungjawab" menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

Tujuan utama pindaan ini dilakukan adalah untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet termasuk melalui Facebook.

Memandangkan kes penyalahgunaan akaun facebook masih berleluasa serta meningkat dari masa ke semasa, sudah sampai masanya pihak kerajaan mengkaji juga cadangan bagi mewajibkan setiap pengguna laman sosial Facebook didaftarkan sebagai usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan laman siber.

Ianya penting kerana terdapat banyak akaun yang tidak memiliki nama pemilik Facebook yang sebenarnya serta wujudnya banyak pemilik Facebook yang mengunakan nama samaran bagi mengelak sebarang proses kenal pasti pemilik.

Tanpa mengunakan nama pemilik yang sebenarnya atau dengan hanya mengunakan nama samaran, individu - individu ini secara sewenang - wenangnya boleh mengeluarkan sebarang pendapat, komen serta tuduhan tanpa sebarang asas atau bukti sekaligus mewujudkan suasana tidak aman dalam alam maya yang akhirnya boleh membawa kepada pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku di alam nyata seperti salah faham serta pergaduhan.

Proses pendaftaran boleh dilakukan kepada mana - mana agensi yang difikirkan sesuai seperti pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau lain - lain.

Dengan adanya proses pendaftaran, senang bagi pihak berkuasa untuk lakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan undang - undang terhadap mana - mana individu yang tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan sosial media berkenaan serta pada masa yang sama juga dapat melatih para penguna media sosial terbabit untuk lebih berdisplin dan beretika ketika mengunakan Facebook.

Bagi sesetengah individu, cadangan itu mustahil untuk dilakukan berikutan jumlah pengguna laman sosial berkenaan mencecah berjuta - juta namun perlu diingatkan langkah yang hampir sama telah berjaya diambil oleh pihak kerajaan pada tahun 2006 yang lalu terhadap pendaftaran wajib pengguna telefon bimbit prabayar untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu untuk membuat panggilan atau menghantar mesej (SMS) berunsur fitnah atau palsu.

Kini, fenomena mesej mahupun imej berunsur fitnah, berita palsu, lucah dan ugutan semakin membimbangkan di Malaysia apabila ia dihantar oleh pihak - pihak tertentu menggunakan Facebook terutamanya dari akaun - akaun Facebook yang palsu, yang memakai nama samaran ataupun yang tanpa nama.

Oleh itu, satu langkah yang proaktif perlu diambil bagi mengatasi masalah ini seperti yang telah dicadangkan diatas.

Selain daripada aspek pengukuhan undang-undang, pendidikan berterusan perlu juga diberikan kepada para penguna mengenai tatacara serta adab mengunakan laman sosial terbabit dengan lebih bertanggungjawab.

Penguatkuasaan yang berterusan, konsisten serta serius dari pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), dan lain - lain agensi yang berkaitan perlu dilakukan bagi membendung salahguna Facebook serta media sosial yang lain.


** Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.