Nang prihatin orang-orang Sarawak.

Petikan itu boleh digambarkan apabila semakin ramai rakyat Sarawak yang prihatin menghulurkan bantuan dalam situasi negara berdepan pandemik COVID-19.

Pelbagai bentuk bantuan baik dari segi barangan keperluan mahupun wang ringgit.

Bagi anak jati Sarawak, Kenneth Chai, beliau bersama rakan-rakannya tampil dengan aplikasi 'Jaga Sama Dirik' bagi membantu golongan memerlukan.

Jelas Kenneth, usaha itu adalah sebagai pendekatan murni bagi meringankan beban golongan itu selain memanfaatkan aplikasi digital yang dijadikan platform utama dalam gaya hidup normal baharu.

Tambahnya, tiga golongan yang diberi keutamaan ialah petugas barisan hadapan, sukarelawan dan golongan memerlukan.

“Kumpulan pertama adalah untuk anggota kesihatan. Jadi ia terdiri daripada doktor di klinik, poliklinik dan hospital yang meminta PPE terus dari kami. Jadi kami dapat membuat persediaan setelah permintaan mereka dan kemudian kami akan tahu jangka masa untuk pengeluaran tersebut.



“Yang kedua adalah dari para sukarelawan. Kita ada sukarelawan dalam sekitar 500 di seluruh Sarawak yang membantu membuat pelindung muka dan percetakan 3D. Ketiga yang paling penting adalah golongan keluarga yang memerlukan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Jelas beliau lagi, melalui inisiatif itu bantuan yang disalurkan setiap dua minggu sekali.

Selain itu, jelas Kenneth, penggunaan aplikasi ini cukup mudah yang mana mereka hanya perlu mengisi beberapa maklumat dengan merujuk kepada syarat yang ditetapkan.

"Barangan yang disumbangkan itu boleh dihantar terus ke Pusat Inovatif Warisan Kreatif Sarawak Multimedia Authority (SMA) di Kuching," katanya.

Mereka yang ingin membuat sumbangan dana, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun Persatuan Bekas Pelajar St Mary (RHB Bank: 21101600086818).