Tidak cukup satu, Sarawak bakal ada enam lagi stesen isian semula bahan api hidrogen.

Ini bagi memenuhi keperluan sektor pengangkutan hijau di negeri ini pada masa depan.

Memperincikan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dua stesen akan dibangunkan di Kuching serta masing-masing satu di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

"Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen ini adalah penyelidikan rintis fasiliti yang memberi pemahaman mendalam mengenai sektor pengangkutan hijau.

"Kita ketika ini sedang menguji tiga bas hidrogen di jalan raya. Bas ini dimiliki dan diurus Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC)," katanya ketika merasmikan Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Diperbaharui SAREF 2019 pada Selasa.

Loji Pengeluaran Hidrogen Bersepadu dan Stesen Pengisian Hidrogen pertama di Sarawak dan Asia Tenggara mula beroperasi di Kuching tahun ini dan dikendalikan Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Linde.

Pada Mei lepas, Abang Johari ketika berucap pada majlis pelancaran Loji dan Stesen Hidrogen di Pejabat Wilayah Barat, SESCO Berhad, memaklumkan Sarawak merancang membina lima lagi stesen isian semula 3 dalam 1 merangkumi minyak, elektrik dan hidrogen pada tahun depan.

Tapak pembinaan stesen tersebut di kawasan luar bandar melibatkan kerjasama SEDC dan Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS).

Jelasnya, pembinaan setiap stesen berkenaan melibatkan kos sekitar RM15 juta.