PEMBANGUN permainan tempatan Yiwei P’ng, 28 tahun, sudah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa menerusi permainan mudah alih yang dibina bersama pasukannya.

Mengimbas kembali detik permulaan menubuhkan Kurechii, sebuah studio permainan bebas yang terletak di Cyberjaya, Yiwei berkata beliau hampir putus asa.

“Kami meletakkan satu garis masa untuk menyiapkan permainan ini dalam tempoh enam bulan, namun ia tidak menjadi seperti yang kami harapkan.

“Kami menghabiskan masa enam bulan yang seterusnya untuk memahami dan memperbaik permainan itu memandangkan kami mahu menghasilkan satu konsep permainan yang unik,” katanya lagi.

Beliau ditemui Astro AWANI selepas menghadiri Sesi Perkongsian bersama Pembangun pada persidangan Google Playtime Asia Tenggara, di sini, pada Khamis.

Tambah Yiwei, kerja-kerja pembinaan permainan bertambah sulit memandangkan tidak banyak permainan sedia ada yang boleh dijadikan rujukan.

“Sampai satu tahap kritikal, kami perlu buat keputusan sama ada untuk terus membangunkan permainan sedia ada atau berhenti dan mulakan daripada awal,” katanya.

Minat bantu harungi cabaran

Tatkala Yiwei mula hilang motivasi dan buntu apa yang harus dilakukannya, beliau mula merenung satu persatu wajah ahli pasukannya.

Jelas air muka mereka terpancar satu kesungguhan luar biasa untuk terus membina permainan itu.

“Saya percaya kami perlu habiskan apa yang kami mulakan. Minat yang mendalam terhadap permainan ini mendorong kami untuk terus mengharungi cabaran dalam industri mudah alih,” kata Yiwei.

Dua puluh lapan bulan kemudian, "Postknight" dilahirkan.



Permainan genre ‘role-playing’ ini mencatat sejuta muat turun dalam tempoh seminggu ia dilancarkan.

“Saya berasa lega apabila kami membuat keputusan untuk terus membangunkan permainan ini.

“Satu keputusan yang berisiko tinggi, ditambah pula dengan pengambilan pemprograman baharu dengan sumber kewangan yang sedikit,” kata Yiwei.

Kini Yiwei dan pasukannya mempunyai cabaran baharu -- bagaimana untuk kekal relevan dalam pasaran industri mudah alih.

“Kami akan sentiasa letak satu penanda aras dan membuat perbandingan dengan permainan lain seperti Angry Birds.

“Kami akan cuba fahami dan kaji kualiti permainan lain dan bandingkan dengan permainan kami,"kata Yiwei lagi.

Dengan kepimpinan Yiwei, beliau telah membantu Kurechii untuk memenangi pelbagai anugerah, antaranya:
Selain "Postknight", permainan popular yang dibangunkan beliau dan Kurechii adalah "Tiny Guardian", "Siri King's League", "Chikcy Duo" dan banyak lagi.

Anda boleh muat turun permainan tersebut di sini: http://kurechii.com/games/