PENGGUNAAN platform dalam talian untuk transaksi harian kini semakin meluas sehingga timbul persoalan mengenai tahap keselamatannya dalam proses perniagaan moden.

Antara yang amat membimbangkan ialah kebocoran data peribadi membabitkan alamat e-mel dan juga kata laluannya.

Terbaharu, penyelidik keselamatan dalam talian Troy Hunt melaporkan sejumlah 773 juta e-mel serta 21 juta kata laluan kini dikongsikan di 'dark web'.

Kesemua data berkenaan diperoleh daripada pelbagai sumber dan ada kemungkinan kata laluan yang ada dalam koleksi data berkenaan tepat dengan senarai e-mel sedia ada.

"Jumlah ini amat signifikan dengan data yang telah dikumpulkan laman web haveibeenpwned.com memandangkan rata-rata pengguna mahu menyemak sama ada akaunnya terlibat dengan kebocoran maklumat.

"Jadi, tiba masanya pengguna menukar kata laluan dengan kepelbagaian huruf dan simbol," jelas Hunt menerusi blog peribadinya.

Akan tetapi, bagaimana data ini boleh terbocor?

"Salah satu sumber kebocoran maklumat ini ialah melalui plugin Wordpress 'The Social Tab'.

"Plugin ini menyimpan token akses akaun yang diambil dalam kod sumber di laman web Wordpress.

"Sesiapa sahaja yang menggunakan token akses ini mungkin terbabit dengan kebocoran maklumat yang dilihat amat merisaukan semua pengguna," jelas Hunt lagi.