SEDARKAH anda bahawa dunia semakin berkembang selaras dengan kemajuan teknologi?

Jika anda tidak mengikuti perkembangan atau trend semasa, pastinya anda akan menjadi insan yang ketinggalan.

Semua syarikat teknologi kini berlumba-lumba dalam menjadi yang pertama untuk menghasilkan inovasi terbaik, tidak kurangnya syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Apple.

Menurut laporan agensi berita Bloomberg, Apple sedang meninjau peluang dengan mengkaji cara menggunakan satelit bagi mempunyai keupayaan untuk menghantar data terus ke iPhone dan peranti-peranti lain, satu. berita baik buat penggunanya.

Buat masa ini, Apple dikhabarkan elah menugaskan sekumpulan jurutera bagi melibatkan diri dengan projek berkaitan dengan satelit dan teknologi data ini.

Apakah impak kepada pengguna Apple?

Jika syarikat itu berjaya dengan inovasi baharu tersebut, mereka dijangka berupaya mengurangkan kebergantungan kepada syarikat telekomunikasi.

Dalam pada itu, ia juga akan menawarkan beberapa informasi terus ke peranti dengan mudah dan dijangka akan menambah-baik penawaran perkhidmatan geolokasi pada peranti Apple.

Bagaimanapun, projek ini akan menelas kos yang tinggi serta mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan sejumlah besar kerja-kerja penyelidikan dan tiada pengumuman rasmi mengenainya oleh Apple.

BACA: Lelaki saman Apple, dakwa iPhone ubah dirinya jadi gay

Sementara itu, terdapat juga kemungkinan projek yang dijangka muncul pada tahun 2025 ini tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab kekangan teknologi dan kewangan kerana ia membabitkan perbelanjaan yang amat besar.

Namun jika dilihat dari peningkatan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook jelas sedar kepentingan meningkatkan keupayaan teknologi.

Cook telah memperuntukkan sejumlah AS$16 bilion, peningkatan perbelanjaan sebanyak 14 peratus untuk 2019 bagi tujuan itu.