Sebanyak 42 peratus atau 365 daripada 853 kawasan penempatan Orang Asli di seluruh negara telah mendapat liputan terkini sistem komunikasi selular bertaraf 4G, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata daripada jumlah itu juga, 82 peratus (702 kampung) telah mendapat liputan 3G.

"Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan liputan komunikasi di kawasan luar bandar termasuklah di kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang meminta pihaknya menyatakan liputan terkini sistem komunikasi selular di kawasan penempatan Orang Asli mengikut jenis sambungan 2G, 3G dan 4G serta rancangan kementerian dan sasaran tarikh siap projek penambahbaikan sistem telekomunikasi selular ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata MCMC juga sedang merancang untuk menyediakan infrastruktur dan menambah baik liputan perkhidmatan secara menyeluruh di seluruh kawasan perkampungan Orang Asli.