Beregu lelaki dan campuran berstatus bebas negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul juara dalam kategori masing-masing dalam kejohanan Thailand Masters di Bangkok.

Dalam saingan beregu lelaki, V Shem-Wee Kiong mengatasi pilihan utama Lu Ching-yao-Yang Po-han 21-13, 21-17 dalam masa 32 minit, sekaligus menamatkan kemarau gelaran yang kali terakhir dimenangi pada Disember 2016.

Peng Soon-Liu Ying pula mengatasi beregu campuran tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-15 dalam tempoh 46 minit.

Sejak digandingkan pada 2009, ini merupakan kali pertama mereka berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka.

Peng Soon-Liu Ying umum keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pertengahan bulan lepas sebelum tindakan mereka keluar BAM diikuti V Shem-Wee Kiong pada tahun baharu.

Mereka juga pemenang pingat perak beregu campuran pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Kejayaan di Thailand membuktikan bahawa mereka adalah gandingan terbaik di negara ini dan berada di landasan yang betul untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim mengucapkan tahniah kepada dua beregu negara tersebut.


Menurut Steven, beliau bangga dengan mereka yang tetap menjulang Jalur Gemilang walaupun menjadi pemain profesional bebas.

"Walaupun menjadi pemain profesional bebas, mereka tetap menjulang Jalur Gemilang di peringkat dunia." kata Steven dalam posting Facebook terbaharunya.

Selain itu, Steven turut mengucapkan tahniah kepada BAM kerana memberi peluang kepada mereka.

"Tahniah Badminton Association of Malaysia - BAM kerana beri peluang kepada mereka. Inilah langkah penambahbaikan ekosistem sukan badminton negara. Win-win"