Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan aksi memberangsangkan apabila mara ke suku akhir Terbuka Jerman di Mulheim an der Ruhr, awal hari ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengesahkan slot tersebut selepas mengalahkan beregu Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash, 21-15 dan 21-16 pada perlawanan pusingan kedua.

Bagaimanapun, pasangan beregu negara itu, akan berdepan tugas berat apabila dijadualkan menentang beregu pilihan kedua, Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding pada suku akhir esok.

Beregu Denmark itu tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke suku akhir apabila dengan mudah menyingkirkan beregu senegara daripada pusingan kelayakan, Kasper Antonsen-Niclas Nohr pada pusingan kedua dengan keputusan straight set 21-16 dan 21-12.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menepati status pilihan ketiga kejohanan apabila mengalahkan pasangan Taiwan, Lee Yang-Hsu Ya Ching, 21-16 dan 21-15 pada pusingan kedua untuk mara ke suku akhir.

Cabaran negara dalam acara perseorangan wanita sudah berakhir selepas pusingan awal kejohanan manakala Malaysia tidak menghantar wakil dalam perseorangan lelaki dan beregu wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$150,000 (RM587,034) itu.

-- BERNAMA